Beberapa kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat sivil, hari ini menggesa tindakan segera diambil terhadap isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui satu memorandum bersama.

Memorandum yang mendakwa kedudukan Malaysia secara antarabangsa, reputasi dan ekonomi telah terjejas dengan teruk oleh kerana kes tersebut, diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low, di Jabatan Perdana Menteri.

Presiden Hak Asasi Manusia (Hakam) Ambiga Sreenevasan, yang merupakan antara pihak yang menyerahkan memorandum tersebut berkata sesuatu harus dilakukan mengenai isu berkenaan.


"Kami akan menghantar memorandum ini kepada semua menteri dan ahli Parlimen kerana kami hendak mereka melakukan sesuatu mengenainya.

"Sekiranya Kabinet tidak boleh melakukan apa-apa, Parlimen harus melakukan sesuatu. Kami mahu mereka terus mendesak sehingga sesuatu dilakukan demi kepentingan rakyat," kata beliau semasa satu sidang media selepas penyerahan memorandum tersebut.

Katanya, setelah menerima memorandum itu, Paul telah bersetuju untuk membawa isu terbabit ke Kabinet.

Memorandum itu mengandungi enam tuntutan, termasuk penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat 1MDB.

Memorandum yang ditujukan kepada semua ahli Parlimen serta menteri-menteri kabinet, turut mengesa mereka untuk mengambil langkah segera bagi membolehkan siasatan penuh tanpa halangan dibuat dan mengambil langkah-langkah untuk menghentikan kerosakan berterusan.

Ia ditandatangani oleh 34 pertubuhan termasuk Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Himpunan Hijau dan Lawyers of Liberty.