"Jangan hanya buku yang mengandungi perancangan."

Itu reaksi peguam, Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar ketika mengulas Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP).

Tegasnya, NHRAP perlu dilaksana sebaik mungkin selain mempunyai jawatankuasa pemantau pelaksana untuk melakukan semak dan imbang.

Selain itu, jawatankuasa pemantau pelaksana juga perlu menyediakan laporan bebas hasil penelitian setiap pelaksanaan NHRAP.

"Semua badan-badan bebas, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua badan pelaksanaan undang-undang seperti polis, imigresen, kastam dan beberapa lagi perlu berada di dalam badan pemantau pelaksana.

"Jika terdapat undang-undang atau peraturan yang perlu diperbaharui, ia perlu dilakukan.

"Kalau betul-betul komited apa yang dikehendaki Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kita kena tunjuk kita komited.

"Mengapa perkara ini jadi penting ialah martabat hak asasi manusia Malaysia di peringkat global amat buruk sekali. Walaupun kita ada perundangan yang kita rasa lengkap, tapi pelaksanaan bagaimana?" katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Malah, beliau mahu rakyat Malaysia menggunakan platform yang disediakan sebaik mungkin untuk menyuarakan pandangan dan masalah hak asasi manusia yang dihadapi.

"Kalau benar kita serius, kenapa dilulus pada 2013 sebelum pilihan raya dan dilancarkan pada 2018 juga sebelum pilihan raya? Jadi pelaksanaannya bila pula?

"Apakah sebenarnya yang kerajaan persekutuan mahukan. Kita perlu sama-sama fikirkan dan bantu memberi maklum balas.

"Saya dapat tahu maklum balas akan diminta melalui media-media sosial, aplikasi-aplikasi media sosial kepada orang ramai. Itu satu tindakan yang bagus tetapi apakah yang akan berlaku selepas maklum balas itu dibuat," soalnya.

Beliau berharap supaya kerajaan mengambil kira setiap isu dan pandangan yang dikemukakan walaupun ia 'pahit' untuk diterima kerajaan.