Nikmat keamanan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia hari ini adalah hasil perjuangan ikhlas perajurit yang sanggup meninggalkan keluarga demi tugas untuk mempertahankan kemerdekaan negara, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata, pasukan tentera telah banyak membantu masyarakat dan juga pemimpin dalam mempertahankan negara iaitu tolong menolong dalam melakukan kebaikan dan ia juga di sarankan dalam agama Islam.

"Bukti keikhlasan perajurit negara dalam melakukan tugas dan mencari rezeki yang halal dapat dilihat hari ini apabila negara Malaysia terus kekal aman," katanya ketika berucap pada majlis sumbangan Aidilfitri kepada isteri perajurit di Kem Terendak pada Sabtu.

Turut hadir isteri ketua menteri Melaka, Datin Seri Fadilah Abdullah dan Panglima 3 Divisyen, Mej Jen Datuk Hasagaya Abdullah.

Beliau dan isteri menyampaikan sumbangan hari raya Aidilfitri kepada 600 orang penerima yang terdiri daripada isteri anggota tentera yang bertugas pada hari raya dan juga anggota dan keluarga yang menghidapi penyakit kronik.

-- BERNAMA