Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang menjadi menteri pertama menjawab soalan pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini 'diserang' Ahli Parlimen pembangkang.

Serangan bertali arus itu susulan soalan yang diajukan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) mengenai aset 1MDB dan nilainya bagi memastikan penilaian lebih adil dapat dilakukan dalam menentukan kedudukan dana 1MDB.

“Saya harap YB (Tuan Ibrahim) boleh baca Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) secara teliti. Apa yang YB (Tuan Ibrahim) sebut berkenaan teguran, itu pandangan Ketua Audit Negara. Yang melibatkan lima syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan yang menjadi masalah.

“Sekiranya YB baca lebih teliti, syarikat ini diwarisi oleh kerajaan lama, ditubuhkan oleh kerajaan lama, menjadi masalah kerana kerajaan lama. Semua ini angkara kerajaan lama. Oleh demikian, itu (tanggungan hutang) terpaksa ditangani kerajaan sekarang,” katanya.

Namun, Tuan Ibrahim bingkas mencelah sesi jawab lisan tersebut dengan menyatakan: "Setahun lebih, perlu jelas. Tak boleh letak kesalahan kepada kerajaan lama (Barisan Nasional) segala-galanya. Soalnya, bagaimana kerajaan baharu yang mampu mengurus?"

Lim kemudiannya mengulangi: "Saya rasa YB kena faham proses pengurusan kewangan. Itu adalah proses pengurusan kewangan, sesuatu yang berlaku bukanlah di bawah kerajaan sekarang. Ditubuhkan oleh kerajaan lama, hutang ditanggung oleh kerajaan lama, tetapi sekarang dibayar oleh kerajaan baharu. Itu yang penting, takkan ini pun tak faham."

"Sungguhpun ini ditanggung oleh kerajaan sekarang, kita masih mampu untuk membiayainya. Sebab itu saya sebut wang digunakan oleh kerajaan lama, apabila bayar semula, kita sekarang.

"Syarikat penarafan kredit antaranbangsa masih mengekalkan penarafan kepada Malaysia kerana mereka yakin tentang pengurusan kewangan yang berdasarkan kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan, tak ada rasuah lagi," tambahnya.

Bagaimanapun, barisan pembangkang seperti ketua pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera), Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh), Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) dan Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) masih tidak puas hati dengan jawapan Lim dan berdiri untuk bertanya soalan.

Mereka terus menuntut supaya Lim menyatakan jumlah aset dan nilai aset sebenar milik 1MDB.

Bagimanapun, Lim hanya memaklumkan bahawa pihaknya masih melakukan penilaian termasuk unit-unit yang dikatakan disimpan di dalam bank di Singapura.