Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mencapai prestasi memberangsangkan dengan catatan nilai jualan sebanyak RM28 juta hanya dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Fama Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, hasil jualan itu disumbangkan oleh 372 usahawan yang melibatkan pembukaan 418 gerai menjual buah-buahan tempatan bermusim dan tidak bermusim selain buah-buahan import.

Jelas beliau, usaha itu merupakan salah satu inisiatif dan peluang untuk mengukuhkan ekonomi golongan sasar selain menghapuskan manipulasi harga orang tengah yang berlaku sebelum ini.

"Justeru itu, bagi membendung perkara tersebut berlaku dan merealisasikan hasrat meningkatkan ekonomi rakyat, Fama juga memutuskan untuk melahirkan 25 usahawan baharu dan gerai baharu di bawah program GBBS di seluruh negara tahun ini.

"Ini selepas pulangan yang diraih memberangsangkan pada tahun 2016," katanya pada satu sidang media selepas mengadakan lawatan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Peladangan Pertanian, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad ke GBBS Selabak di sini pada Khamis.

Program tersebut merupakan salah satu sisipan aktiviti bersempena Pemukiman Menteri Besar di Daerah Hilir Perak selama lima hari yang akan berakhir Sabtu ini.

Badruddin berkata setakat tahun lepas, para usahawan GBBS Fama mencatat purata nilai jualan tahunan terkumpul sebanyak RM190 juta.

Sehubungan itu, katanya pihaknya juga dalam usaha menaik taraf secara berperingkat semua 418 GBBS sedia ada selain meminta kerajaan negeri menyediakan tapak-tapak yang sesuai untuk membina GBBS baharu dengan kosnya ditanggung oleh Fama.

Fama juga memutuskan untuk melahirkan 25 usahawan baharu dan gerai baharu di bawah program GBBS di seluruh negara tahun ini selepas pulangan yang diraih memberangsangkan pada tahun 2016.

Dalam perkembangan sama, Badruddin berkata, di Perak, terdapat 30 usahawan Fama menjalankan perniagaan buah-buahan di 33 GBBS yang menghasilkan nilai jualan lebih RM2 juta dalam tempoh sehingga Mac tahun ini.

Bagi tempoh yang sama tahun lepas, mereka mencatat jualan RM22.4 juta.

Menerusi angka jualan memberangsangkan pada tahun lalu, katanya pencapaian usahawan GBBS Perak boleh dibanggakan berikutan jualan bagi negeri itu berada di ketiga terbaik di belakang Kedah (RM27.8 juta) dan Pahang (RM22.9 juta).

Projek GBBS telah bermula sejak April 2006 yang mempunyai objektif memperluaskan ruang pasaran khususnya buah-buahan tempatan selain mengatasi masalah lambakan buah-buahan supaya pemilik kebun dapat memasarkan sendiri hasil mereka terus kepada pengguna.