Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan nilai, budaya dan ketamadunan yang selama ini menjadi teras pembangunan masyarakat kini tidak lagi dihormati.

Mengambil contoh institusi perkahwinan, Dr Mahathir berkata ia dilihat tidak lagi dihormati apabila wujud perkahwinan sesama jantina.

“Sebagai contoh tiada rasa hormat kepada institusi perkahwinan dan keluarga. Keluarga ketika ini tidak sama dengan apa yang kita panggil sebagai keluarga sebelum ini.

“Ia bukan lagi mengenai (perkahwinan) antara lelaki dan wanita dan membesarkan anak-anak untuk mendirikan keluarga.

“Hari ini perkahwinan tidak dihormati. Kini mereka boleh berkahwin antara lelaki dan lelaki, wanita dan wanita dan tiada zuriat sendiri, mengambil anak angkat daripada orang lain, dianggap sebagai sah dan menjadi sebahagian daripada keluarga mereka,” katanya pada pra-pelancaran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit 2019) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Tegasnya, umat Islam perlu belajar mengenali budaya sendiri serta memeliharanya selain berbangga dengannya.

Jelasnya, segala yang berlaku ini berpunca daripada perubahan besar dunia yang turut menghakis nilai hingga ia tidak lagi dihormati.

“Dunia kini melalui perubahan besar. Sistem nilai kini telah amat terhakis di negara-negara barat di mana tiada apa-apa lagi yang dihormati.

“Segala yang dianggap berdosa kini telah diterima sebagai perkara yang betul untuk dilakukan.

“Kita lihat, ramai umat Islam tertarik dengan budaya baru ini di mana ia jelas tidak menghormati nilai-nilai yang kita pernah diajarkan untuk rasa hormat,” ujarnya.

Justeru, budaya dan identiti merupakan antara tujuh teras yang akan menjadi fokus lebih 400 pemimpin, pemikir, cendekiawan serta sarjana Islam pada KL Summit 2019 yang berlangsung bermula 18 hingga 21 Disember depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.