Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) diminta untuk membuat kertas kerja Kabinet bagi menangani insiden lemas yang berlaku kebelakangan ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kertas kerja itu akan dibentangkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem kepada jemaah menteri untuk dibincangkan dengan lebih teliti.

"Langkah ini juga supaya penyelesaian jangka panjang dapat dicari.

"Ini penting demi keselamatan pengunjung di pantai bukan sahaja di Pantai Timur tetapi di seluruh negara dan dalam situasi yang lain," kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pra-pelancaran Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-16 dan Pameran Keselamatan Antarabangsa Asia (NATSEC) pada Selasa.

Pada Ahad, anggota Majlis Keselamatan Aktiviti Air Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye telah menuntut sebuah jabatan bertaraf penuh perlu diwujudkan bagi melaksanakan langkah pencegahan insiden lemas di air.