Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar pada Selasa meluahkan rasa kesal berikutan kegagalan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor menghantar wakil untuk menerima geran tahunan dalam satu majlis yang berlangsung di sini.

Noh berkata tindakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang tidak menghantar wakil untuk menerima geran itu daripada kementeriannya menunjukkan seolah-olah mereka tidak menghargai sumbangan kerajaan pusat.

"Hari ini (Selasa) wakil 10 daripada 12 PBT Selangor hadir menerima geran tahunan daripada saya, cuma MBPJ dan MPK tak hadir.

"Kalau mereka tak berminat, saya akan pulang balik duit peruntukan ini kepada Kementerian Kewangan," katanya pada sidang media selepas menyerahkan geran tahunan kepada 10 PBT Selangor berjumlah kira-kira RM36.907 juta tersebut.

MBPJ dan MPK masing-masing diperuntukkan RM5 juta sebagai sumbangan geran tahunan.

Noh berkata penerimaan geran tahunan itu penting bagi memastikan segala projek yang dirancang oleh kerajaan pusat di kawasan pentadbiran PBT dapat berjalan lancar.

Dalam perkembangan lain, Noh yang juga Pengerusi UMNO Selangor, berkata Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos layak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa yang ketika ini disandang Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada Isnin, Jamal menyatakan minat untuk bertanding di kawasan itu kerana lebih mencabar dan memerlukan kerja keras serta usaha yang bersungguh-sungguh.

-- BERNAMA