Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) dilarang memasuki Dewan Rakyat bagi menyertai sesi perbahasan selama tiga hari.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming memutuskan, perkara itu susulan tindakan Noh pada Isnin di Dewan Rakyat yang disifatkan sebagai melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan.

"Berdasarkan kelakuan Tanjong Karang yang tidak senonoh dan jelas sengaja melakukan perbuatan yang menghina majlis mesyuarat atau tidak mengendahkan kuasa pengerusi tohmahan yang dilemparkan menuduh pengerusi mesyuarat tidak layak memegang jawatan adalah satu perbuatan menghina majlis mesyuarat .

"Oleh yang demikian berdasarkan kuasa yang diberi dibawah Perkara 43 dan 44, saya dengan ini memerintah Tanjong Karang keluar daripada majlis mesyuarat bagi tempoh bagi tiga hari iaitu hari ini 19 Mac; 20 Mac dan 21 Mac, saya sarankan Tanjong Karang ambil iktibar tidak ulangi kelakuan menghina majlis mesyuarat pada masa akan datang dan berharap ahli majlis yang lain menjaga tertib," katanya di sini pada Selasa.

Bagaimanapun, Noh tidak hadir pada sesi perbahasan dewan pada sesi pagi.

Pada Isnin, Noh melemparkan tuduhan terhadap Kor Ming bahawa beliau tidak layak menjawat jawatan berkenaan.

Ia berhubung kenyataan yang mengaitkan kerjasama Pas dan UMNO dengan Taliban.

Kor Ming menjelaskan, jawapan kepada kenyataan itu sudah diberi namun Noh tiada di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Noh mempersoalkan kembali Kor Ming berhubung kenyataannya berhubung kerjasama antara Pas dan UMNO, namun Kor Ming tidak menjawab soalan itu sebaliknya hanya mengatakan dirinya tidak mahu melayan Noh.

Kor Ming kemudian bertindak mematikan bunyi mikrofon selepas Noh berterusan menengkingnya.