'Kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya'.

Berbekalkan peribahasa itu, seorang pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Polimas) Jitra, bertekad menjual makanan dari rumah ke rumah sepanjang Ramadan untuk menambah pendapatan.

Hafiylutfi Mahadzir, 20, menggunakan masa yang ada sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memenuhi permintaan masyarakat terhadap juadah berbuka puasa berikutan ketiadaan bazar Ramadan ketika ini.

Pelajar jurusan Teknologi Maklumat ini membuat kelainan dengan menggunakan kreativiti sendiri memasang pembesar suara di hadapan kereta Produa Myvi digunakannya untuk menarik perhatian pelanggan di sekitar kawasan perumahannya di sini.

Hafiylutfi berkata, sebelum ini dia bersama beberapa rakan lain akan berkerja secara sambilan di restoran namun tidak dapat meneruskannya berikutan PKP.

"Masing-masing duduk rumah saja tak boleh kerja atau buat apa-apa sepanjang PKP, jadi saya berbincang dengan rakan-rakan sebelum dapat idea untuk berniaga seperti ini.

"Saya mengambil mengambil juadah makanan daripada penduduk tempatan dan jual di sekitar kawasan Jitra," katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Antara makanan yang dijual adalah mi kari, laksa, bihun sup, roti John dan kuih muih serta minuman seperti laici kang, cendol dan teh bunga.

Katanya, dia mendapat keuntungan antara RM50 hingga RM60 sehari.

Sementara itu, tinjauan mendapati penduduk menantikan kedatangan kereta Hafiylutfi untuk membeli juadah berbuka puasa.

Abd Halim Mahmud, 57, berkata cara ini sedikit sebanyak memudahkan mereka kerana tiada bazar Ramadan pada tahun ini akibat COVID-19.

"Terima kasih kepada peniaga seperti ini kerana memudahkan kami membeli juadah. Bazar Ramadan sudah tiada dalam tempoh PKP ini, jadi kewujudan perkhidmatan seperti ini amat membantu," katanya.