Sektor perniagaan diminta untuk tidak terlalu ghairah dalam memulakan semula perniagaan, dan memikirkan keuntungan semata-mata, sebaliknya mereka perlu mengutamakan kesihatan pekerja.

Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Abdul Mohsein Mohd Shariff berkata, perniagaan yang bakal memulakan kembali beroperasi, perlu terus menjadikan langkah seperti penyediaan hand sanitizer, topeng muka, dan pengimbas suhu sebagai normal baharu perniagaan mereka.

“Saya rasa ini harus dijadikan sebagai pendekatan yang paling utama kepada semua usahawan atau ahli perniagaan dalam merangka semula bisnes mereka.

"Kita tidak mahu bila dah mulakan perniagaan, kita hanya untuk kaut keuntungan semata-mata, untuk memulihkan bisnes, tapi kita perlu lihat skop lebih luas, bersama dengan kerajaan, Kementerian Kesihatan Malaysia untuk terus membendung wabak COVID-19 dari terus menular,” katanya lagi.

Abdul Mohsein berkata demikian kepada Astro AWANI sebagai maklum balas terhadap pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan bersetuju membuka semula hampir semua kegiatan ekonomi di negara ini di bawah era Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sementara itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pengurusan perniagaan perlu mengamalkan self-empowerment (pemerkasaan diri) daripada terus bergantung kepada polisi kerajaan semata-mata.

Sebagai contoh, jelasnya lagi, pengurusan perniagaan perlu mengamalkan SOP seperti penyediaan hand sanitizer dan sebagainya, tanpa perlu menunggu pihak berkuasa untuk membuat pemeriksaan terhadap tahap pematuhan.

“Dalam konteks ini, saya harap di mana-mana tempat ada golongan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan, dan mereka ini boleh membantu pihak majikan, tentang langkah yang perlu diambil selain apa yang ditentukan dalam SOP.

“Misalnya penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) sangat penting. Apabila saya menjadi pengerusi NIOSH, saya selalu mengingatkan semua pihak majikan, aspek tentang keselamatan pekerja paling utama dan tidak boleh diabaikan,” katanya lagi .