Pelaksanaan sistem jualan hasil pertanian dalam talian dapat memastikan aktiviti pertanian serta perniagaan berterusan malah bekalan keperluan kepada pengguna tidak terputus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat antara yang memanfaatkan sistem jualan seumpama itu, yang secara tidak langsung turut membantu petani mendapatkan harga lebih baik kerana tidak lagi perlu melalui orang tengah.

Pengurus Besar PPK Kuala Langat, Mohd Shakran Shamsudin, berkata mereka sebenarnya sudah membuat persediaan awal untuk membangunkan sistem jualan dalam talian lebih awal daripada penguatkuasaan PKP sebelum ini.

"Sebenarnya kami sudah rancang untuk melaksanakan sistem ini sejak Januari lalu bertujuan membantu petani memasarkan produk dengan lebih baik.

"Secara kebetulan, PKP dikuatkuasakan 18 Mac lalu. Ketika itu, sistem jualan dalam talian kami sudah 70 peratus siap, jadi kami teruskan sahaja," katanya.

Petugas di pusat pengumpulan membungkus pesanan pelanggan. - Foto/PPK Kuala Langat

Bagaimanapun, katanya pelaksanaan PKP juga memberi cabaran kepada mereka kerana kesukaran mendapatkan bahan mentah.

"Pergerakan yang terhad sedikit sebanyak menjadi isu sebab ada barang yang sukar didapati dan disediakan.

"Kami perlu menangani masalah masa penghantaran. Kami banyak mengendalikan barang-barang segar, jadi satu kemestian untuk pastikan ia sampai ke tangan pembeli dalam tempoh yang singkat.

"Tetapi semua isu sudah dapat diatasi selepas lebih sebulan kita melalui PKP. Kita sudah mengenal pasti rakan strategik termasuk peniaga di pasar borong, malah petani dan peladang juga kini diberikan surat pelepasan untuk menghantar hasil pertanian mereka," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Shakran bangga menerima kerjasama penuh daripada petani tempatan. - Foto/PPK Kuala Langat

Selepas sebulan pelaksanaannya, Shakran bangga apabila mereka mendapat kerjasama penuh daripada peladang tempatan.

"Dalam sebulan ini, kami banyak mengambil hasil yang datang terus daripada petani dan peladang. Barang-barang segar seperti sayuran termasuk ubi kayu dan ubi keledek juga dihantar terus ke pusat pengumpulan kami.

"Kami juga menerima hasil laut segar seperti ikan, malah ada juga produk seperti pes, perencah dan kerepek.

"Sambutan daripada pengguna juga sangat bagus. Ramai dalam kalangan pelanggan kami yang membuat pesanan ulangan.

"Mereka nampak selesa dan memilih menggunakan perkhidmatan kami berbanding daripada pergi sendiri ke pasar. Bagi mereka itu lebih mudah dan mereka tidak perlu beratur panjang untuk beli barang keperluan di musim PKP ini," tambah Shakran.