Kalau dahulu, pelanggannya wajib datang ke kedai untuk mengambil ukuran dan saiz baju bagi satu-satu tempahan, namun kini, semuanya berubah bagi tukang jahit Saidatul Emma Ahmad Tohar.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan susulan penularan COVID-19 di negara ini, Saidatul, 29 tahun, berkata, ia menuntutnya berfikir di luar kotak.

Dia yang memulakan kerjaya sebagai tukang jahit sejak lima tahun lalu berkata, antara idea yang dipraktikkan kini adalah, berinteraksi dengan pelanggan melalui panggilan video dan menghantar tempahan baju menggunakan khidmat runner dan Pos Laju.

Ujarnya, pendekatan itu diambil atas inisiatifnya sendiri bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19 di samping kerana pergerakan orang ramai masih terbatas untuk berada dalam kelompok yang ramai pada satu-satu masa.

Menurutnya, modus operandi itu juga kekal dilaksanakan meskipun kebenaran bergerak melebihi radius 10 kilometer di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sudah bermula.

"Kita awal-awal lagi sudah penuh (tempahan) untuk raya tahun ini, sebelum PKP lagi. Ada pelanggan yang menempah sehingga tujuh atau lapan helai, kemudiannya membatalkan sedikit tempahan, dengan membuat tiga pasang dahulu.

"Ada juga yang membatalkan tempahan kerana tidak boleh pulang berhari raya," katanya.



Saidatul kini memilih untuk menjalankan perniagaan di rumah sejak pelaksanaan PKP pada peringkat permulaan, dengan dibantu dua orang yang menjahit di rumah masing-masing.

Katanya, pendekatan ini diterima baik oleh pelanggannya yang rata-rata lebih selesa dengan cara baru dan hanya perlu menunggu tempahan dihantar ke rumah masing-masing.



"Mereka membayar dalam talian. Apabila sudah siap, kita akan maklumkan kepada pelanggan berapa lagi baki yang perlu dibayar, dan mereka hanya tunggu sahaja di rumah.

"Jika ada pelanggan yang hendak membetulkan jahitan pada baju, kita buat panggilan video untuk semua perubahan yang dimahukan pelanggan," ujarnya.



Katanya, tahun ini, dia menerima kira-kira 180 tempahan yang terdiri daripada pelbagai rekaan baju moden dan tradisional.

Caj perkhidmatan menerusi pos dikenakan berdasarkan kawasan dan perkhidmatan runner pula RM10 untuk penghantaran di sekitar Ipoh.

"Perkara positif yang kita boleh dapat daripada PKP ini, kita sebagai peniaga kena kreatif dan ada keupayaan menyelesaikan masalah.

"Contohnya, daripada PKP ini, boleh menjadikan cara perniagaan berubah. Saya rasa selepas PKP ini pun saya masih akan mengekalkan cara perniagaan seperti ini, melalui dalam talian," jelasnya.

Harapannya selepas ini, normal baharu ini bakal menjadi penggerak kepada kemajuan perniagaan dan berharap pendekatan berkenaan dapat memudahkan peniaga dan pelanggan dalam menjalankan urusan.