Buat kali pertama dan selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kerajaan negeri Perak akan menganjurkan Ujian Tilawah Al-Quran Remaja Peringkat Negeri secara dalam talian.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri Perak, Mohd Akmal Kamarudin, bertemakan ‘Moh Kome Kite Ngaji’, ujian itu akan diadakan dari 12 hingga 18 Mei, sempena sambutan Nuzul Al-Quran, tahun ini.

Menurutnya, program itu yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Jabatan Belia dan Sukan serta Jabatan Penerangan Negeri Perak, menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM11,700.

“Ujian terbuka kepada anak kelahiran Perak berumur 15 hingga 21 tahun dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori lelaki dan wanita,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Mohd Akhmal berkata, peserta perlu merakam bacaan ayat Al-Quran dalam bentuk video berdurasi kurang 5 minit dan menghantar rakaman tersebut ke pautan yang disediakan.

Beliau berkata, video yang dihantar mestilah tulen, dirakam dalam keadaan landskap dan saiz video kurang 100Mb, tidak disunting serta dirakam selepas 12 Mei dengan Tarannum wajib Bayyati dan Sikah.

Katanya, peserta perlu melengkapkan butir-butir peribadi seperti nama penuh, kad pengenalan, umur, alamat dan nombor telefon di dalam pautan, seterusnya menghantar video melalui pautan http://form.gle/P4gF5R AVZMkxvVh67 pada atau sebelum 18 Mei.

“Pada akhir rakaman, peserta dikehendaki menyebut 'STAY AT HOME, PERAK SEJAHTERA'. Pihak urusetia akan menghubungi peserta yang berjaya dan mendapatkan sendiri pengesahan bacaan dari mereka,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan negeri mengharapkan lebih banyak penyertaan dalam kalangan anak muda sempena bulan Ramadan yang mulia ini yang dikenali juga dengan bulan al-Quran.

Maklumat lanjut mengenai ujian tilawah ini boleh diperolehi daripada laman web JAIPk di http://jaipk.perak.gov.my/index.php/maklumat-umum/787-ujian-tilawah-al-quran-remaja-peringkat-negeri-perak-sempena-nuzul-al-quran.