Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan menerima arahan daripada Perdana Menteri untuk membatalkan program 'Dialog PM bersama NGO'.

Katanya keputusan itu dibuat selepas pihak polis mendapat maklumat terdapat pihak yang merancang melakukan kekecohan sambil menegaskan ancaman berkenaan dianggap serius.

"No such things! (terima arahan). Ia keputusan saya (membatalkan majlis) atas keselamatan awam.

"Perdana Menteri pada mulanya tidak bersetuju dengan keputusan saya tetapi saya bertegas dia tidak perlu hadir ke majlis itu atas dasar keselamatan," kata Khalid dalam sidang media di Bukit Aman.

Tambah Khalid, terdapat dua kumpulan yang tidak sehaluan boleh memberi ancaman kepada ketenteraman awam.

BACA:
#Nothing2Hide: Dialog PM bersama NGO dibatalkan
Dr M datang tidak dijemput, kata penganjur #Nothing2Hide
#Nothing2Hide: Penganjur akan akan umum tarikh baharu 'Dialog PM bersama NGO'


Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti kumpulan berkenaan.

Jelasnya tindakan yang dilakukan adalah sebagai langkah pencegahan bagi mengelak sebarang perkara yang lebih buruk daripada berlaku.

Khalid turut mengakui pihak menganjur iaitu Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) ada memaklumkan kepada mereka berhubung acara itu namun kawalan keselamatan yang ada tidak mencukupi.

Mengulas tindakan polis menghentikan ucapan Tun Mahathir Mohamed, Khalid berkata ia terpaksa dilakukan memandangkan majlis berkenaan telahpun dibatalkan.

“Bila majlis itu telah dibatalkan, semua aktiviti di majlis itu harus dihentikan, termasuk ucapan oleh Tun Mahathir."

Majlis anjuran SukaGuam itu dijadualkan bermula pukul 10 pagi dengan wakil NGO, aktivis dan orang ramai boleh bertanya kepada Najib mengenai semua perkara termasuk isu-isu kontroversi seperti 1MDB dan urusan pembelian tanah oleh Tabung Haji.

Bagaimanapun pada pukul 10.30 pagi, penganjur membatalkan program itu kerana berlaku kekecohan di luar Dewan Tun Hussein Onn sehingga ada individu yang ditahan polis.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini juga mengesahkan pembatalan program dialog perdana menteri itu bukan atas arahan beliau atau Datuk Seri Najib Tun Razak.