Penganjur Himpunan Pertahankan Kedaulatan Islam 405 (Himpunan 405) didakwa tidak menyertakan notis kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika membuat permohonan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visunathan Abdullah berkata pihaknya berkemungkinan memanggil penganjur Gerakan Pembela Ummah (Ummah) bagi menjelaskan perkara itu.

“Setakat ini, penganjur tidak sertakan bersama notis kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, jadi ia (notis) dianggap tidak lengkap.

"Kita akan jalankan siasatan lanjut dan kita akan panggil penganjur sekiranya ada keperluan,” katanya yang ditemui selepas perhimpunan berakhir.

Mohd Fahmi Visunathan berkata seramai 600 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk memantau dan mengawasi perjalanan himpunan yang dihadiri kira-kira 3,500 peserta itu.