Pengganas di rantau ini dipercayai dibiayai oleh mereka yang menyalahgunakan pertubuhan bukan keuntungan (NPO), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, setakat ini, tiada bukti mana-mana NPO di Malaysia terlibat dalam hal ini, namun pihak berkuasa sentiasa memantau pergerakan wang yang disalurkan NPO disyaki kepada pengganas di tempat lain.

"Tidak ada NPO yang terlibat dalam pembiayaan keganasan di negara ini, tetapi di negara lain ia mungkin berlaku. Atas kekhuatiran ini kita telah bersiap siaga agar ia tidak berlaku di negara kita," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada Sidang Kemuncak Menangani Pembiayaan Keganasan ke-3 (CTF) yang dihoskan oleh Bank Negara Malaysia, di Sasana Kijang, hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga memantau pembiayaan yang disalurkan melalui cara selain daripada sistem perbankan.

"Kita mempunyai sistem dan mekanisme tersendiri untuk mengesan aktiviti ini dengan bantuan Bank Negara dan polis.

"Jika kita menerima maklumat dari mana-mana negara mengenai NPO yang menyalurkan wang kepada pengganas, mereka akan dimasukkan dalam senarai suspek.

"Kita akan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang terhadap mana-mana individu di negara ini yang menyalurkan wang kepada organisasi tersebut," tegas Ahmad Zahid.