Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) hari ini membuat laporan polis terhadap kumpulan anti-Bersih yang bertindak ganas ke atas sekumpulan wartawan di Kuala Selangor, Sabtu lalu.

Laporan di buat Naib Presiden NUJ Chin Sung Chew, Setiausaha Agungnya Schave Jerome De Rozario dan exco Muhammad Basir Abu Bakar di Balai Polis Daerah Sri Petaling, Brickfields, Kuala Lumpur.

Menurut De Rozario, laporan itu dibuat terhadap ketua kumpulan berkenaan yang kini masih bebas dan belum dipanggil untuk soal siasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).


"Kami sedar bahawa pihak polis telah mengambil tindakan tetapi kami mahu tegaskan sekali lagi bahawa wartawan tidak seharusnya dikasari lebih-lebih lagi pada Bersih 5 akan datang, di mana kami merasakan akan ada lebih banyak kejadian seperti ini berlaku lagi.

"Kami mahu pihak polis untuk tidak berdiam diri dan membiarkan isu ini berlalu sahaja kerana ia mungkin boleh menyebabkan kejadian lebih besar berlaku. Ini adalah negara berdemokrasi, setiap orang ada hak untuk menunjukkan protes secara aman.

"Wartawan mempunyai tugas membuat liputan, janganlah kasari mereka atau minta mereka memadam rakaman kerana ia merupakan bukti nyata atau sebahagian sejarah perkara yang mereka laporkan di negara ini. Sebab itu kami mahu pihak polis melakukan sesuatu... jangan biar ia hilang begitu sahaja," katanya.

De Rozario turut menjelaskan bahawa NUJ tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan, termasuk Bersih atau 'Baju Merah', dan hanya mahu memperjuangkan hak wartawan.

Insiden 15 Oktober lalu itu membabitkan tiga wartawan akhbar The Star dan Malaysiakini dikasari dan dipaksa memadam video yang dirakamkan melalui telefon bimbit salah seorang dari mereka.

Kejadian itu berlaku semasa kumpulan anti-Bersih dan konvoi perhimpunan Bersih 5 bertembung di hadapan sebuah pasar raya di Kuala Selangor.