Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) menggesa kerajaan melonggarkan syarat keahliannya supaya lebih ramai wartawan boleh mendapat perwakilan undang-undang.

Setiausaha agungnya Schave Jerome De Rozario berkata, masih ramai petugas media yang tidak dapat mendaftar di bawah kesatuan itu, terutamanya wartawan berita atas talian.

De Rozario berkata petugas media kini semakin terdedah kepada risiko pekerjaan termasuk menjadi mangsa tindakan ganas sewaktu membuat laporan.

"Kami mahu wartawan berita atas talian untuk menyertai kami tetapi mereka harus menubuhkan kesatuan sendiri di bawah organisasi mereka sebelum menyertai kami. Ia adalah sebahagian dari hak undang-undang mereka.

"Tetapi negara kita masih mempunyai undang-undang lapuk yang hanya menganggap wartawan akhbar sahaja sebagai wartawan, walaupun selepas NUJ mendekati Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dengan menulis kepada mereka tetapi tidak mendapat sambutan.

"Kami mahu wartawan berita atas talian menyertai kami tapi tidak dapat. Kami bukan bersikap tertutup tetapi masih ada cabaran buat kami," katanya.

Tambahnya, NUJ sudah beberapa kali cuba berbincang dengan KKMM bagi meluaskan definisi wartawan dengan mengambil kira wartawan atas talian.

Ujarnya, ada juga organisasi media yang tidak membenarkan kakitangan mereka menjadi ahli kepada kesatuan.

NUJ kini mempunyai hanya 1,200 ahli berdaftar kebanyakan dari mereka adalah wartawan media cetak.