Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali hari ini membidas kenyataan Ketua Bahagian UMNO Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengatakan PERKASA satu ancaman kepada UMNO.

Ketika dihubungi Astro AWANI, Ibrahim berkata ternyata Nur Jazlan tidak memahami erti demokrasi, di mana dalam kes ini merujuk kepada hak mengkritik dan menyuarakan pandangan.

"Tak payah layan... who is he (siapa dia)? Dia tak faham makna demokrasi. Ancaman kepada siapa? Ancaman kepada dia ke?" soal beliau.

PERKASA, melalui Ibrahim pada akhir tahun lalu telah 'mengancam' sedia menggantikan UMNO yang kononnya tidak dapat membela nasib orang Melayu.

Dakwa beliau semasa perhimpunan agung badan itu, UMNO sudah 'tidak bertaring, lesu dan lemah' dan PERKASA 'boleh jadi galang ganti' mempertahankan bangsa dan agama.

Nur Jazlan dalam kenyataanya yang dipetik dari akhbar The Heat telah menggesa agar UMNO menjinakkan PERKASA dengan meletakkan syarat dalam hubungannya dengan badan bukan kerajaan itu dan tidak membiarkan ia terus-menerus menentukan keadaan.

Katanya UMNO tegas memberitahu PERKASA supaya bercakap dengan fakta dan menurut Nur Jazlan sekiranya tidak ada apa-apa yang hendak dicakapkan, mereka (PERKASA) sepatutnya tutup mulut.

Nur Jazlan bagaimana pun berkata, PERKASA tidak mendiamkan diri kerana ia mahukan legitimasi.

Laporan The Heat itu turut memetik Nur Jazlan berkata kewujudan PERKASA tidak membantu UMNO sebaliknya menyusahkan parti itu, serta lebih merupakan satu ancaman kepada mereka.

Semalam, Ibrahim turut membidas cadangan untuk menghapuskan perkataan 'bangsa' di dalam setiap borang di negara, menyifatkan cadangan tersebut sebagai melampau dan 'mempunyai niat jahat terhadap bangsa Melayu'.

Menurutnya, menghapus perkataan bangsa dalam apa jua borang bererti menghapus perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, terutama sekali yang melibatkan hak istimewa orang-orang Melayu.

Selain itu, beliau juga berkata andainya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib tun Razak bersetuju dengan cadangan Joseph itu, ia hanya akan memberi ruang untuk lebih ramai orang Melayu tidak menyokong UMNO.