Polis hari ini mengambil keterangan daripada Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berhubung pertemuan kontroversinya dengan Jacel H. Kiram, anak perempuan bekas ketua pengganas yang menceroboh Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Perbuatan itu menimbulkan kemarahan rakyat Sabah dan keluarga mangsa yang terkorban di Lahad Datu sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam meluluskan usul menghalang beliau dan Anggota Parlimen Batu, Tian Chua daripada memasuki negeri itu.

Naib Presiden PKR itu hari ini hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bersama peguamnya, R. Sivarasa serta beberapa penyokong kira-kira 3.35 petang untuk memberi keterangan berhubung perkara itu.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Nurul Izzah berkata beliau kesal tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar pertemuannya bersama Jacel Kiram pada 9 Nov lepas di media sosial.

"Perkara ini telah saya jelaskan sebelum ini dalam program terbuka anjuran Institut Demokrasi di Asia, Pejabat Timbalan Presiden Filipina dan Datuk Bandar Filipina...saya minta maaf dan kesal atas perkara itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ)(Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi mengesahkan pihaknya mengambil keterangan daripada Nurul Izzah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan kerana cubaan sabotaj," katanya.