Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar memfailkan saman Ketua Polis Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana menuduhnya sebagai pengkhianat negara.

Saman difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, di sini melalui Tetuan Daim & Gamany dengan menamakan Khalid dan Ismail Sabri sebagai defendan pertama dan kedua.

Naib presiden PKR itu dalam tuntutannya mendakwa Khalid telah mengeluarkan perkataan perkataan memfitnah dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman pada 22 Nov lepas.

Perkataan fitnah itu katanya, dibuat selepas gambarnya bersama Jacel Kiram, anak perempuan Jamalulail Kiram III yang dikatakan mengetuai serangan pencerobohan ke atas Sabah pada 2013.

Beliau mendakwa, dalam makna asal atau biasa perkataan-perkataan fitnah itu bermaksud beliau adalah penderhaka kepada negara dan dalang di sebalik serangan dan pencerobohan ke atas Sabah.

Ismail Sabri, pada hari sama didakwa mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah dalam sidang media di satu majlis di Bera, Pahang.

Nurul Izzah mendakwa, perkataan yang digunakan Ismail Sabri dalam makna asal atau biasa bermaksud beliau adalah seorang penderhaka kepada negara dan telah menisytiharkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan kedua-dua defendan menurutnya, telah diterbit dan disiarkan di media elektronik dan cetak sehingga beliau mengalami kecederaan teruk terhadap reputasinya sebagai anggota parlimen dan pemimpin politik.

Sehubungan itu, Nurul Izzah menuntut ganti rugi am, teruk, faedah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.