Hati seorang ibu hancur selepas anak kandung sendiri sanggup membelasahnya kerana wang.

Mangsa berusia 67 tahun itu dipukul di rumahnya selepas enggan memberi wang sejumlah RM40,000 yang dikeluarkan oleh anak lelakinya terbabit untuk mengubahsuai rumah mereka sebelum ini.

Tidak cukup dengan menumbuk ibunya sebanyak dua kali, anak durjana berusia 48 tahun terbabit juga turut turut mengugut bunuh ibunya dengan mengacukan sebilah parang dalam kejadian di Simpang 3, Ulu Dedap di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, dalam kejadian sekitar 10.45 pagi tersebut, suspek bertindak demikian selepas mangsa enggan membayar wang yang dibelanjakan suspek sebelum ini untuk mengubahsuai rumah.

“Sebelum ini suspek tinggal bersama mangsa (ibu) dan telah membuat beberapa pengubahsuaian rumah menggunakan duitnya sendiri, tetapi selepas berkahwin suspek berubah perangai dan mangsa telah halau suspek keluar dari rumah itu.

“Ketika kejadian, suspek datang marah-marah serta minta duitnya termasuk duit sewa bendang yang diusahakan oleh adik mangsa sendiri, namun mangsa memberitahu tidak mempunyai wang.

“Suspek berasa tidak puas hati dan telah menumbuk muka mangsa di bahagian kiri sebanyak dua kali sehingga menyebabkan lidah serta pipinya bengkak dan sakit,” katanya.

Tambahnya lagi, selepas bertindak demikian, suspek turut mengugut mangsa dengan menggunakan parang.

“Suspek mengugut mangsa dengan mengatakan "nyawa kome aku ambik, ingat!" dan beredar daripada tempat kejadian,” jelas beliau.

Mohamad Zainal berkata selepas menerima laporan polis daripada mangsa, pihaknya berjaya menahan suspek sekitar jam 6.30 petang hari sama serta merampas parang yang digunakan.

“Parang berkenaan dirampas polis untuk siasatan lanjut dan suspek direman selama empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.