Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama meletakkan hak asasi manusia di tahap yang tinggi, yang perlu ditegakkan sepenuhnya oleh sesebuah negara.

Ia disuarakan Obama ketika sesi bersama pemimpin masyarakat serta badan bukan kerajaan (NGO) pada petang Ahad, sekaligus memberi semangat baru kepada mereka yang ditemui.

Penasihat anti-pemerdagangan manusia pertubuhan TENAGANITA, Aegil Fernandez berkata pejumpaan itu begitu memberangsangkan sehingga sesi 15 minit yang dijadualkan berlarutan sehingga ke 50 minit.

"Lebih 10 pemimpin masyarakat telah bertemu dengan Obama.

"Beliau mendengar komen dan pendapat daripada setiap seorang daripada kami. Saya bercakap tentang perlindungan dan hak-hak bagi masyarakat yang memerlukannya.

"Saya memberi contoh tentang seorang gadis Bangladesh yang dirogol dan ditinggalkan di tepi jalan.

"Apabila beliau sembuh 60 peratus, beliau dihantar pulang ke negaranya. Itu sahaja bentuk perlindungan yang dia perolehi. Seharusnya lebih dari itu.

"Selepas mendengar perkara ini Obama mengulas bahawa kebebasan rakyat haruslah menjadi agenda utama di mana-mana negara," katanya kepada Astro AWANI.

Fernandez turut berkata Obama mengakui AS juga mempunyai masalahnya sendiri tetapi apa yang penting adalah cara untuk menanganinya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Gereja-Gereja Malaysia Rev Dr Hermen Shastri berkata Obama merupakan pendengar yang baik.

"Beliau mendengar kesemua masalah kami. Saya telah berhujah tentang kebebasan beragama.

"Beliau merupakan seorang yang percayakan hak asasi adalah untuk setiap rakyat. Saya sangat berbangga dan gembira keraa beliau sempat meluangkan masa bersama kami walaupun mempunyai jadual yang padat," katanya.

Pagi tadi, Obama yang dalam rangka lawatan tiga hari mengunjungi Masjid Negara dan Makam Pahlawan selain mengadakan sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau dijangka berlepas ke Filipina pada Isnin.