Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menyemarakkan semangat anak-anak muda untuk melakukan perubahan dalam masyarakat dan menempa masa depan yang mereka impikan seperti generasi terdahulu yang melakukan perubahan untuk zaman masing-masing.

Dalam ucapan yang disampaikan kepada pemimpin belia ASEAN, Obama mengingatkan bahawa mereka adalah masa depan negara dan rantau ini dan sebagai orang muda, merekalah yang harus menerajui perubahan.

"Saya mahu anda semua optimistik tentang masa depan biarpun saya bercerita tentang masalah pemanasan global," katanya kepada lebih 100 pemimpin muda peserta Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) dalam satu majlis dialog di Universiti Malaya.

Obama UM
Presiden Obama sedang memberikan ucapan dalam pertemuan dengan kumpulan pemimpin belia ASEAN di Universiti Malaya pada Ahad - Foto AP

Lihat foto-foto menarik sepanjang lawatan Presiden Barack Obama ke Malaysia.

Obama sebelum itu mengulas tentang pemanasan global dan mengingatkan anak-anak muda itu supaya menjadi sebahagian daripada penyelesaian dan bukan sebahagian daripada masalah.

"Anda boleh mendidik ibu bapa, kawan-kawan dan rakan kerja dan dalam proses itu anda akan membawa perubahan kepada dasar (kerajaan)," katanya.

Menurut Obama, pada bahu generasi mudalah terpikul beban dan harapan untuk mencorakkan masa depan yang mahu mereka lalui dan wariskan kepada generasi seterusnya.

Katanya, setiap zaman ada cabarannya yang tersendiri tetapi setiap zaman itu juga mempunyai generasi yang melakukan perubahan sehingga keadaan jadi lebih baik berbanding sebelumnya.

"Amerika mahu jadi sebahagian daripada proses (perubahan) itu, selamat maju jaya," katanya.

Sesi dialog selama lebih kurang sejam itu pada satu peringkat menyentuh sisi peribadi Obama apabila beliau ditanya apakah makna bahagia.

"Ini soalan falsafah," katanya.

Menurut Obama, bahagia baginya adalah masa yang dihabiskan bersama orang tersayang dan keluarga serta meyakini dengan teguh apa yang dipegang sebagai satu kepercayaan.

"Semakin saya menganjak usia, saya menghargai masa bersama orang yang tersayang (keluarga). Semakin saya menganjak usia, saya semakin yakin dengan apa yang saya percaya," katanya.

Jelas beliau, seseorang itu boleh mencapai bahagia sekiranya mereka mengotakan kata dan melakukan apa yang mereka yakini dalam hidup secara konsisten.

Obama dalam rangka lawatan ke empat negara Asia selepas tertangguh sejak Oktober tahun lalu ketika Kongres gagal bersepakat tentang belanjawan negara sehingga menyebabkan kerajaan lumpuh.

Selain Malaysia, Obama sebelum ini ke Jepun dan Korea Selatan dan akan meneruskan lawatannya ke Filipina dalam siri jelajah yang disifatkan sebagai usaha mendekatkan semula Amerika dengan Asia.