Obesiti dan berat badan berlebihan menjadi antara penyebab kanser yang dikesan dalam kalangan penduduk di Malaysia.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata menerusi kajian Institut Kanser Kebangsaan, terdapat 13 jenis kanser yang dikaitkan dengan obesiti.

Ini kerana Malaysia mempunyai penduduk paling ramai gemuk di rantau Asia dengan kelaziman obesiti adalah 17 peratus dan 30.0 peratus berat badan berlebihan.

Justeru, individu yang mempunyai berat badan dengan indeks jisim tubuh (BMI) melebihi 40 atau obes lebih cenderung menghidap kanser berbanding mereka dengan berat badan normal.

Jenis kanser terkait obesiti ialah payu dara, rahim, kolorektal, rahim, buah pinggang, darah, kepala dan leher, esofagus, pankreas, endometrium, prostat, pundi hempedu, dan tiroid.

Katanya, 60 peratus penyakit kanser di negara ini dikesan lewat iaitu pada peringkat tiga dan empat, justeru pengesanan awal menjadi aspek penting dalam rawatan segera bagi meningkatkan peluang penyembuhan.

"Dalam aspek ini, pihak Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan NGO lain dan rasa ini satu aspek yang penting di mana NGO boleh main peranan penting dan tema pada hari ini.

"Tema ini penting kerana setiap individu boleh main peranan penting untuk elak daripada penyakit kanser dan menjalani kehidupan sihat. Juga boleh main peranan penting untuk dapatkan rawatan atau saringan awal supaya dapat jalani rawatan awal," kata Dr Lee.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Kanser Sedunia 2019 dengan tema "Saya Akan dan Saya Boleh" di Strait Quay, Sri Tanjung Pinang, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Presiden Persatuan Onkologi Malaysia, Dr Muhammad Azrif Ahmad Annuar dan Master Akademi Perubatan Malaysia, Prof Dr Rosmawati Mohamed.

Sambutan selama dua hari itu turut membabitkan agensi kerajaan, swasta dan sukarelawan bagi menyuntik kesedaran mengenai kanser dalam kalangan masyarakat.