Imbasan terbaharu di lantai Lautan Hindi ketika usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370, membabitkan keluasan 80, 000 kilometer persegi sejak Januari lalu, menunjukkan masih tiada tanda penemuan bangkai pesawat itu.

Sebelum ini, syarikat teknologi Amerika Syarikat, Ocean Infinity, yakin menemui sesuatu atau cebisan pesawat yang hilang sejak empat tahun lalu.

Dalam satu kemas kini semalam, Ocean Infinity melaporkan, ia sudah mengimbas sehingga 1,300 kilometer persegi kawasan sehari sejak melancarkan misi di pantai barat Australia pada akhir Januari lalu.

Menurut laporan ABC News, yang memetik Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity, berkata tiada tanda MH370 di kawasan pencarian Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dan kawasan jauh ke utara, tetapi pihaknya masih ada baki masa pencarian.

MH370 hilang pada 8 Mac 2014 dalam perjalanan dari Kuala Lumpur, Malaysia ke Beijing, China bersama 239 penumpang.

Tiada transmisi diterima dari pesawat dalam 38 minit pertama penerbangan, tetapi dipercayai terhempas di selatan Lautan Hindi.

Kerajaan Malaysia, China dan Australia menangguhkan pencarian rasmi hampir tiga tahun pada Januari 2017.

Laporan akhir ATSB berhubung pencarian mengakui pihak berkuasa hampir tidak mengetahui alasan kehilangan pesawat atau lokasi.