Seorang orang kena tuduh (OKT) lelaki ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan Mahkamah Sesyen dan Majistret Pulau Pinang pada Isnin.

Mayat lelaki berusia 30-an itu yang masih dalam keadaan tangan bergari ditemui terbaring di bawah kompleks mahkamah kira-kira jam 11.35 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian itu.

"Polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian berkenaan," katanya.

Mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.