OKU penglihatan impikan peluang pekerjaan

OKU penglihatan impikan peluang pekerjaan
Dengan keadaannya yang kekurangan itu, Veerapan hanya mampu duduk di rumah bersama tiga anak sementara isterinya bekerja. - Twitter: @bernamadotcom
KLANG: Peribahasa 'berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul' tepat untuk menggambarkan realiti kehidupan G. Veerapan, 45 bersama isterinya, B. Jayanti, 42, yang tinggal dalam keadaan daif di sebuah rumah kedai yang serba kekurangan.

Veerapan yang cacat penglihatan sejak 32 tahun lalu akibat kemalangan, hanya mampu duduk di rumah bersama tiga anak mereka sementara isterinya bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah kilang.

Dia yang turut mempunyai masalah sakit tulang belakang bergantung pada anak lelakinya Kishuraj, 13, untuk menjaga dua adik iaitu Christina, 5, dan Dorrathy yang berumur setahun.

Lebih memilukan, anak sulungnya Maha Letchumy,15, terpaksa dihantar ke rumah kebajikan kanak-kanak sejak kecil kerana suami isteri berkenaan tidak mampu menjaga anak itu.
Keadaan rumah yang tidak mempunyai kipas, keadaan lantai yang teruk serta tiada sebarang kelengkapan di ruang tamu, bilik tidur dan dapur, cukup untuk memaparkan kedaifan keluarga itu.

Mereka hanya hidup bersumberkan gaji isterinya, Jayanti yang berjumlah RM1,000 sebulan dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400.

Wang itulah yang digunakan untuk membayar sewa rumah, membeli makanan dan keperluan persekolahan anak-anaknya.

Meskipun begitu, Veerapan tidak mahu hidup atas belas ihsan orang ramai dan berhasrat untuk bekerja bagi menyara keluarga.

"Dulu saya susah seorang sahaja, tidak mengapa, sekarang sudah ada anak dan isteri, jadi saya perlu bekerja untuk membantu isteri saya." katanya ketika ditemui Bernama News Channel (Astro 502) di kediamannya di sini hari ini.

Kisah Veerapan tular setelah sekumpulan anak muda berbangsa Melayu yang merupakan pekerja sebuah syarikat penyiaran tempatan membuat liputan mengenai keluarga lelaki itu dua hari lalu.

Veerapan turut meluahkan rasa terharu dan bersyukur atas semua sumbangan ikhlas yang disampaikan oleh orang ramai kepada keluarganya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh terus menghubungi Veerapan di talian 011-3651 4918 atau terus ke rumahnya di No 36F, Jalan Dato' Dagang 24, Taman Sentosa, 41200 Klang Selangor.

-- BERNAMA

Tag: OKU penglihatan, cacat penglihatan, klebajikan, bantuan, keluarga memerlukan bantuan, G veerapan


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.