Seorang penjawat awam antara tujuh yang ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamin dalam Op Khas Motosikal yang dijalankan sempena Aidilfitri di Jalan Greentown hadapan Bangunan Persekutuan, Ipoh malam tadi.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak Azman Hashim berkata kesemua lelaki berumur antara 16 dan 29 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983.

Beliau berkata kadar kemalangan meningkat setiap bulan bukan hanya disebabkan masalah teknikal kenderaan tetapi kebanyakannya adalah kerana penyalahgunaan dadah semasa memandu.

"Penyalahgunaan dadah semasa memandu bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, malah turut membahayakan (nyawa) pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam sidang media selepas operasi itu.

Operasi selama dua jam bermula 9 malam itu membabitkan 84 anggota dan pegawai penguat kuasa, antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia, AADK, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Imigresen serta Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Sementara itu, Pengarah JPJ Perak Mohd Zawawi Zakaria berkata pihaknya telah memeriksa 1,081 motosikal dan 639 notis serta saman telah dikeluarkan menerusi Op Khas Motosikal di negeri itu selama dua hari mulai semalam.

"Daripada 639 saman itu, sebanyak 350 motosikal telah diambil tindakan atas 482 pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 antaranya tiada lesen memandu, tamat tempoh cukai jalan, tidak memakai helmet mengikut spesifikasi yang ditetapkan JKJR," katanya.

Selain itu, beliau berkata pada operasi hari ini pihaknya turut mengesan dua remaja lelaki bawah umur yang menunggang motosikal tanpa lesen.

"Seorang daripadanya memberitahu ayahnya membenarkan dia menunggang motosikal tersebut. Kita saman ayahnya yang juga pemilik motosikal itu," katanya.

Katanya ibu bapa tidak sepatutnya membenarkan anak mereka yang tiada lessen menunggang motosikal bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

-- BERNAMA