Tutup

Op samseng jalanan: Bawa isteri mengandung dan dua anak uji kelajuan kereta

Op samseng jalanan: Bawa isteri mengandung dan dua anak uji kelajuan kereta
Pemuda berusia 31 tahun itu merupakan antara 13 pemandu kereta yang di tahan dalam operasi samseng jalanan di Jalan Sultan Ismail Petra, di sini awal pagi tadi. - Foto Astro AWANI
KOTA BHARU: Seorang suami tergamak membawa dua anak serta isterinya yang sedang mengandung untuk menguji kelajuan kereta yang diubah suai tanpa mempedulikan keselamatan orang tersayang.  

Pemuda berusia 31 tahun itu merupakan antara 13 pemandu kereta yang di tahan dalam operasi samseng jalanan di Jalan Sultan Ismail Petra, di sini awal pagi tadi.  
Selain si suami yang membawa anak dan isteri mengandung menguji kelajuan kereta, turut ditahan pemuda berusia 38 tahun yang memakai kopiah dan berlagak seperti ustaz.  


Turut ditahan seorang remaja berusia 14 tahun bersama  motosikal yang diubah suai  untuk tujuan perlumbaan yang kemudiannya didapati sebagai motosikal yang diragui.  
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Traffik Kelantan, Superitendan Markandan Subramaniam dalam operasi yang bermula jam 12 tengah malam tadi serta berakhir jam 5 pagi tadi, pihaknya menumpukan samseng jalanan yang menggunakan jalan berkenaan untuk menguji kuasa dan kelajuan kereta.  

Sepasukan lebih 43 orang pegawai dan anggota polis dari Ibupejabat Polis Kontinjen Kelantan dan Bukit Aman terlibat dalam operasi berkenaan. 

"Kesemua pemandu kereta berkenaan ditahan dan akan direman mengikut Seksyen 81 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang mana jika dibuktikan bersalah boleh dikenakan denda RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya ketika ditemui selepas operasi samseng jalanan awal lagi tadi.  

Katanya, aktiviti menduga kelajuan ialah bertujuan memastikan tahap kelajuan dan keupayaan kereta selepas diubah suai yang mana dipercayai untuk tujuan perlumbaan.  

Dalam operasi berkenaan pihak polis menutup jalan empat lorong itu sebelum mengepung kereta yang terlibat sehingga mereka tidak dapat meloloskan diri.  

Dalam operasi berkenaan pihaknya berjaya manahan 18 buah kenderaan termasuk lima buah motosikal.  

Beliau menjelaskan lebih 100 orang pemandu dan penunggang motosikal diperiksa dan sejumlah 69 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.  

Katanya samseng jalanan berkenaan merupakan sebahagian pengguna jalan raya berkenaan yang sering kali melakukan aktiviti menguji kelajuan kereta sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai serta mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.