Sebanyak 69 kematian direkodkan dalam tempoh tiga hari Op Selamat 15/2019 sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang dilancarkan sejak Rabu lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad menerusi statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

“Negeri Selangor mencatat jumlah kematian tertinggi dengan 11 kes, diikuti Johor dan Sarawak (9 kes), Perak dan Kelantan (8 kes), Kedah dan Pahang (5 kes), Perlis (4 kes), Sabah (3 kes), Negeri Sembilan dan Melaka (2 kes), Kuala Lumpur dan Terengganu (1 kes).

“Sebanyak 10,042 kenderaan terlibat dengan kemalangan jalan raya dengan 63 daripadanya merupakan kemalangan maut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Statistik turut menunjukkan, sejumlah 96,127 saman dikeluarkan daripada 1,238 operasi yang telah dijalankan seluruh negara setakat semalam.

Dalam pada itu, statistik bagi kes pecah rumah pula mencatat 158 kes dengan yang paling tinggi direkodkan di selangor iaitu sebanyak 34 kes.