Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dijalankan di 12 lokasi di lima negeri di Semenanjung pada hari keenam pada Sabtu telah berjaya menghasilkan hujan di dua kawasan iaitu di Padang Besar dan Beris, Kedah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata bagaimanapun, operasi yang turut dilakukan di Empangan Muda, Pedu dan Ahning di Kedah, Empangan Air Hitam dan Teluk Bahang (Pulau Pinang), Empangan Bukit Merah (Perak), Empangan Durian Tunggal, Jus dan Asahan (Melaka) serta Empangan Gemencheh (Negeri Sembilan) telah gagal menghasilkan hujan.

"OPA akan diteruskan hari ini (Ahad) dan esok (isnin) di semua kawasan terbabit serta diharap akan berhasil di kebanyakan kawasan," katanya kepada Bernama di sini hari Ahad.

Shahidan yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata operasi itu dijalankan dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis Abdul Najib Abdullah berkata paras air di Empangan Timah Tasoh yang direkodkan setakat 5 petang tadi telah menyusut sebanyak 0.02 meter kepada 26.15 meter berbanding 26.17 meter semalam.