Pengunjung yang mahu melawat Bukit Bendera tidak perlu bimbang untuk menaiki kereta api funikular kerana ia dalam keadaan baik dan selamat, menurut Perbadanan Bukit Bendera (PHC).

Pengurus Besar PHC, Datuk Cheok Lay Leng berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan dan penyelenggaraan kereta api itu mengikut jadual secara harian, mingguan dan bulanan malah mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

"Kereta api funikular itu melibatkan pelbagai komponen jadi penyelenggaraan dan pemeriksaan perlu dilakukan secara teliti, sebab itu kita perlu buat mengikut jadual supaya semuanya dalam keadaan baik demi keselamatan semua terutama pengunjung Bukit Bendera yang menggunakannya.

"Penyelenggaraan menyeluruh pula dijalankan dua kali setahun dan ketika itu operasi kereta api funikular akan ditutup sepenuhnya selama dua hingga tiga minggu supaya kerja-kerja dapat dijalankan dengan teliti serta baik," katanya ketika dihubungi, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Cheok berkata dua insiden kegagalan operasi keretapi funikular itu dalam tempoh dua minggu pada bulan ini sehingga menyebabkan pengunjung terkandas adalah disebabkan masalah yang berbeza.

"Sebenarnya dua kejadian itu melibatkan masalah yang berbeza iaitu dalam kejadian 4 Disember lepas adalah disebabkan 'kesilapan manusia' atau kesalahan petugas kerana tersalah menekan butang yang terdapat dalam tempat operasi.

Disebabkan itu, secara automatik butang amaran memberi isyarat sehingga menyebabkan sistem operasi kereta api funikular berkenaan terhenti. Pemeriksaan yang pasukan PHC jalankan mendapati tidak berlaku sebarang kerosakan," katanya.

Beliau berkata dalam kejadian terbaharu Sabtu lepas, kegagalan operasi melibatkan masalah brek hidraulik keretapi funikular itu disebabkan kerosakan 'kedap' yang terdapat di dalamnya dan pasukan jurutera bersama juruteknik mengambil masa lebih 10 jam untuk mengenal pasti punca sebelum membaikinya.

"Kami sedang menjalankan siasatan terperinci mengapa 'kedap' tersebut boleh rosak kerana sepatutnya ia boleh digunakan selama empat tahun dan baru sahaja ditukar dua tahun lepas.

"Kedap itu dikeluarkan oleh sebuah syarikat di luar negara dan sepanjang 10 tahun kereta api funikular tersebut beroperasi ini adalah kejadian pertama ia rosak sebab itu kami perlu jalankan siasatan terperinci," katanya.

Ditanya sama ada dua insiden itu memberi kesan kepada kehadiran pengunjung ke pusat pelancongan itu, Cheok berkata walaupun menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai, namun jumlah pengunjung yang datang ke Bukit Bendera memberangsangkan.

Menurutnya sejak kereta api funikular itu kembali beroperasi bermula pukul 4.45 petang semalam, pihaknya menerima pengunjung yang ramai malah hari ini juga jumlahnya sama seperti hari-hari biasa sepanjang musim cuti sekolah.

"PHC menerima semua maklum balas daripada pengunjung dan mana yang kami boleh baiki ia akan diperbaiki demi keselesaan serta keselamatan orang ramai. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan kesabaran mereka terutama kepada pengunjung selepas dua insiden itu," katanya.

Pada 4 Disember lepas, lebih 500 orang terkandas apabila perkhidmatan kereta api funikular di Bukit Bendera tergendala lebih dua jam sejak 10 pagi.

Manakala dalam kejadian terbaharu Sabtu lepas, lebih 900 pengunjung terkandas apabila perkhidmatan kereta api funikular di pusat pelancongan itu tergendala sejak 8 malam akibat masalah kerosakan sistem.

Kejadian itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden itu.

Al-Sultan Abdullah berharap masalah brek hidraulik kereta api funikular itu dapat diselenggara dan langkah-langkah diambil dengan segera agar kejadian tersebut tidak berulang.

-- Erma Idayu Mohd Yusop/BERNAMA