Kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited untuk menjadi sebuah kerajaan yang bersikap mesra terhadap alam sekitar dalam menangani isu keselamatan berkaitan operasi Lynas Advance Material Plant (LAMP), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Sambil mengalu-alukan hasrat Lynas Corporation untuk bekerjasama dengan kerajaan, Fuziah, yang baru-baru ini dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Semakan Semula Lynas, berkata semakan semula terhadap kilang penapis nadir bumi Lynas akan berpandukan kepada rangka kerja pembangunan dan pelaburan lestari.

Fuziah, yang juga Anggota Parlimen Kuantan, dan merupakan pengkritik lantang Lynas sejak projek itu diperkenalkan pada 2008, berkata kerajaan PH dengan jelas menyatakan dalam manifestonya bahawa kelestarian adalah sebahagian penting daripada dasarnya.

"Janji 39 dalam Manifesto Pakatan Harapan di bawah tajuk 'Menyeimbangkan Pertumbuhan Ekonomi Dengan Perlindungan Alam Sekitar' menyebut bahawa Kerajaan Pakatan Harapan berjanji akan mentadbir negara ini dengan berlandaskan prinsip kelestarian dan pembangunan mampan.

Ringkasnya, ia akan menjadi sebuah kerajaan yang mesra alam sekitar," kata Fuziah dalam kenyataan di sini pada Selasa sebagai respons terhadap surat terbuka Ketua Pegawai Eksekutif Lynas Amanda Lacaze yang berikrar untuk memberi kerjasama sepenuhnya terhadap semakan semula kerajaan tentang operasi syarikat itu di Gebeng, Kuantan.

Dalam surat terbukanya yang tersiar dalam akhbar The Star pada Selasa, Lacaze merayu kepada kerajaan supaya bersikap adil dan saksama serta menggunakan pendekatan secara objektif dan saintifik dalam membuat kajian semula terhadap Lynas Malaysia.

Lacaze berkata Lynas mendapat tahu tentang penubuhan jawatankuasa semakan semula itu melalui laporan media tetapi pihaknya tidak dimaklumkan tentang keanggotaan jawatankuasa berkenaan, skop semakan semula itu atau terma rujukan jawatankuasa yang ditubuhkan.

Bulan lepas, dilaporkan bahawa Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin berkata Fuziah dan Anggota Parlimen Bentong, Wong Tack akan mengetuai jawatankuasa itu, yang akan meneliti operasi pemprosesan nadir bumi Lynas.

Fuziah seterusnya menjelaskan bahawa jawatankuasa eksekutif semakan semula itu dibentuk kerajaan untuk mengkaji isu keselamatan berkaitan operasi LAMP.

Menyentuh kebimbangan Lacaze tentang kebebasan anggota jawatankuasa dalam menjalankan tugas mereka, Fuziah berkata pengerusi dan anggota jawatankuasa itu dilantik oleh menteri dan akan mewakili kerajaan dalam melaksanakan semakan semula berkenaan.

Menurut beliau, perkara paling utama dalam semakan semula itu ialah Pelan Pengurusan Sisa Radioaktif (RWMP) kerana sisa radioaktif merupakan isu penting yang perlu dibincangkan jawatankuasa berkenaan daripada perspektif kelestarian dan pembangunan mampan.

"Di samping RWMP, jawatankuasa itu juga akan mengkaji aspek keselamatan lain seperti kesan terhadap kesihatan, sosial dan alam sekitar.

Laporan daripada jawatankuasa semakan semula sebelum ini seperti Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan syor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa juga akan diambil kira," katanya.

Beliau berkata semakan semula itu juga akan mengkaji keputusan yang dibuat kerajaan sebelum ini dan kronologinya.

Menurutnya, jawatankuasa itu komited terhadap standard keselamatan dan keputusan yang menegakkan keadilan antara generasi serta dasar yang menggalakkan pelaburan lestari sebagai garis panduan masa depan untuk kerajaan sekarang.

Fuziah berkata jawatankuasa itu menyambut baik syor Lynas agar pendengaran dibuka kepada orang ramai kerana ia menyedari hakikat bahawa Lynas dan pekerjanya merupakan pemegang kepentingan utama yang menjadi pertimbangan pihaknya.

"Jawatankuasa ini juga menyedari hakikat bahawa terdapat pemegang kepentingan lain yang perlu diberi pertimbangan dan diambil kira pendapat mereka secara saksama.

Oleh itu, proses semakan semula oleh jawatankuasa ini akan terbuka dan telus kepada pelbagai pemegang kepentingan kerana kami mewakili kerajaan semasa, yang percaya kepada ketelusan dan kami juga berada di sini untuk memastikan dasar kerajaan semasa tentang pembangunan mampan sentiasa dipatuhi," kata beliau.

-- BERNAMA