Operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang tertimbus di kawasan kaki Gunung Jerai, Gurun akan disambung pada Isnin bermula jam 8 pagi.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1, Mohamadul Ehsan Mohd Zain pihaknya terpaksa menangguhkan operasi yang bermula kira kira jam 6.30 petang Ahad selepas mengambil kira keadaan lokasi yang gelap dan berbahaya.

Tambahnya, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkemungkinan akan menggunakan bantuan jentera pengorek bagi menyambung operasi mencari kedua-dua mangsa terbabit.

Ia berikutan kedalaman kawasan terbabit mencecah 12 meter selain mangsa dianggarkan tertimbus pada kedudukan antara 1.5 hingga tiga meter.

"Mungkin berlakunya pergerakan tanah dan mangsa telah tertimbus, dipercayai pada jam 5 petang tadi. Kami telah terima panggilan pada jam 6 petang dan gerakan daripada Balai Guar Cempedak bersama dengan pasukan STORM.

"Pasukan dah buat secara manual dan saya rasa sekarang ni dah lewat malam. Ini membahayakan anggota saya dan saya akan tutup operasi ini pada jam 12 tengah malam. Jika tidak ada apa-apa, pagi esok (Isnin) kita akan mulakan operasi... mungkin akan disambung jam 8 pagi," ujar Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Kebombaan dan Penyelamat JPBM Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain.

Tambahnya, jentera pengorek sudah dalam perjalanan ke lokasi itu namun kerja mencari dan menyelamat akan disambung pada pagi Isnin. Tambahan pula, pencahayaan tidak berapa mencukupi dan keadaan agak berisiko kerana kedudukannya tinggi dan curam.

Mohamadul berkata demikian ketika ditemui media di lokasi kejadian di kawasan Kaki Gunung Jerai, lewat malam Ahad.

Dalam pada itu beliau turut menyatakan bahawa operasi kali ini melibatkan 38 anggota bomba termasuk sembilan anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), polis dan pegawai Jabatan Perhutanan Negeri.

Terdahulu, dua mangsa dipercayai tertimbus dalam kedalaman hampir 40 kaki di bawah runtuhan tanah di kaki Gunung Jerai, Gurun pada Ahad.

Dalam kejadian kira kira jam 6 petang tadi, kedua dua mangsa berkemungkinan sedang melakukan aktiviti penggalian di sebuah kawasan tapak projek perumahan berdekatan kawasan peranginan terbabit..