Operasi Pembenihan Awan (OPA) di zon utara pada Sabtu berjaya menghasilkan hujan di lima empangan di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Operasi itu, yang berpangkalan di Bayan Lepas, menghasilkan hujan di Empangan Timah Tasoh, Perlis, Empangan Beris dan Ahning di Kedah serta Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang di Pulau Pinang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau berkata sehingga 4 petang Sabtu,, suhu maksimum negara yang direkod adalah kurang daripada 37 darjah Celsius.

"Suhu maksimum yang direkodkan di Limbang, Sarawak adalah 36.1 darjah Celcius," katanya dalam kenyataan di sini, malam Sabtu.

Beliau juga berkata sehingga 20 Mei lepas, bilangan hari tanpa hujan secara berturut-turut yang paling lama dicatatkan adalah di Kuantan, Pahang iaitu selama 12 hari.