Perkhidmatan pengangkutan awam rel dan bas Rapid KL di ibu negara akan dilanjutkan sehingga 1 pagi esok bagi memberi peluang kepada orang ramai menyambut Ambang Merdeka pada malam 30 Ogos malam ini.

Selain itu, Rapid KL juga akan menambah operasi kekerapan tren di tiga laluan utama LRT dan monorel untuk menuju ke ibu negara.

Dalam kenyataan medianya, Rapid KL memaklumkan stesen yang terbabit ialah Masjid Jamek dan Hang Tuah bagi laluan Sri Petaling, KLCC dan Masjid Jamek bagi laluan Kelana Jaya, Bukit Bintang dan Hang Tuah bagi laluan monorel.

Biarpun stesen lain ditutup seperti biasa, pengguna masih boleh keluar di semua stesen LRT dan monorel untuk meneruskan perjalanan mereka.

Pengguna juga boleh menggunakan perkhidmatan LRT dan monorel pada Hari Kebangsaan seawal pukul 6 pagi.

Selain perkhidmatan itu, operasi perkhidmatan bas juga dilanjutkan dari hab bas Pasar Seni dengan bas terakhir berlepas 15 minit selepas tren terakhir.

Rapid KL juga menyediakan sebanyak 10 laluan bas bagi mereka yang ingin menyambut Hari Kemerdekaan di ibu negara.

Laluan yang akan disediakan termasuk Jalan Munsyi Abdullah ke Taman Jasa Utama, Lebuh Ampang - Wangsa Maju - Pandan Mewah, Jalan Silang ke Terminal Kajang dan Pasar Seni hingga Taman Dato Senu.