Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang hilang selepas terjatuh dari bot ketika memancing di perairan Pulau Tinggi dekat Mersing semalam, diteruskan hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Kapten Sanifah Yusof berkata operasi hari ini melibatkan keluasan kawasan pencarian sehingga 100 batu nautika.

"Operasi hari ini melibatkan sebuah kapal dan dua bot dengan kekuatan anggota seramai 71 orang daripada APMM, Pasukan Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya sehingga kini masih tiada petunjuk baharu dilaporkan.

Semalam, Amran Mohamad Ayilina, 43, dilaporkan hilang selepas terjatuh dari sebuah tekong bot pancing di kedudukan 11 batu nautika dari Pulau Tinggi kira-kira 3 pagi.

Mangsa dilaporkan keluar memancing bersama enam individu termasuk tekong ke perairan tersebut.

-- BERNAMA