Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) telah menghentikan pada 3 petang Rabu operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) untuk mengesan dua rakyat Malaysia setelah mayat mereka ditemui.

MPA, penyelaras misi SAR itu berkata, ia diberitahu oleh pihak berkuasa Indonesia bahawa pada kira-kira 5 petang 12 Dis, mereka telah menemui satu mayat di Pantai Pengudang, Pulau Bintan, Indonesia.

Pada kira-kira 2.30 petang hari ini, pihak berkuasa Indonesia memberitahu MPA bahawa mereka telah menemui satu lagi mayat di laut ke utara Pulau Bintan, katanya.

Dua mayat itu kemudian dikenalpasti oleh anggota keluarga sebagai Chang Chong Kuok dan Tan Soon Heng, dua rakyat Malaysia yang hilang.

Operasi SAR itu yang melibatkan pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia diselaraskan oleh Singapura.

"Bagi pihak semua agensi yang terlibat dalam operasi itu, MPA melahirkan takziah kepada keluarga berkenaan dan orang-orang kesayangan mereka," kata Ketua Eksekutif MPA, Andrew Tan dalam satu kenyataan di sini.

MPA juga merakamkan penghargaannya kepada semua kapal dan pesawat yang menyertai SAR, kata Tan.

Dua lelaki itu dilaporkan hilang selepas sampan mereka terbalik pada Ahad, 0.8 batu nautikal ke tenggara Pulau Batu Putih (Pedra Branca) dalam Wilayah Mencari dan Menyelamat Maritim Singapura.

-- BERNAMA