Operasi SAR kenderaan jatuh ke dalam laut ditangguhkan

Operasi SAR kenderaan jatuh ke dalam laut ditangguhkan
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, ACP Rosman Ismail (tiga, kiri memberi penerangan kepada anggota pasukan polis marin dan bomba sebelum melakukan operasi mencari sebuah kereta yang terhumban ke dalam laut. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Operasi mencari dan menyelamat sebuah kereta bersama pemandunya yang terjatuh di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang, awal pagi tadi ditangguhkan kira-kira jam 7 petang tadi berikutan keadaan cuaca yang semakin gelap.

Komander Polis Marin Wilayah 1 ACP Rosman Ismail berkata operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan di kawasan sekitar 25 meter persegi radius itu tidak menemui kereta jenis SUV Mazda CX-5.

Katanya operasi mencari dan menyelamat itu akan diteruskan pagi esok bersama Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Pihaknya juga akan menambah aset dan anggota untuk mencari mangsa.


"Operasi ini laksanakan sehingga lewat petang, dan sekarang ini sudah masuk jam 7 petang dan akan tangguh operasi ini dan akan disambung esok," katanya.

BACA: Polis kenal pasti pemandu kenderaan terjunam ke dalam laut

Menurutnya, operasi hari ini disertai kira-kira 20 pegawai dan anggota Polis Marin termasuk empat penyelam bersama pasukan bomba bersama lima buah bot  dalam operasi yang bermula jam 7 pagi tadi.

Namun sehingga jam 7 petang, pihaknya tidak menemui kereta atau mangsa kemalangan berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas menyertai operasi menyelamat di Jambatan Pulau Pinang pada Ahad.