Proses pencarian di bawah Op Wawasan Khas yang dilakukan sepasukan anggota polis dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menemui 3 bahagian mayat yang tercerai dan hampir reput hari ini.

Mayat ditemui di sebuah bangsal di Bukit Wang Burma di sini hanya beberapa meter dari tembok sempadan negara.

Menurut Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Rizani Che Ismail, proses pencarian itu bermula jam 9.20 pagi tadi dengan kekuatan seramai tujuh pegawai dan 24 anggota forensik dari Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Unit Pemusnah Bom dan turut dibantu anggota PGA.

BACA: 139 kubur, 28 kem pemerdagangan manusia ditemukan

BACA: Kubur besar pelarian disyaki ada kaitan aktiviti pemerdagangan manusia - Zahid

Pendakian selama dua jam ke lokasi berkenaan membawa kepada penemuan 3 bahagian mayat terbabit yang hampir reput dan tercerai antara bahagian kepala, badan serta kaki.

Kubur Bernama
Penemuan itu hasil 'Op Wawasan Khas JKDNKA 2015' oleh 300 anggota polis Komando VAT 69 dan Pasukan Gerak Am (PGA) dari 11 Mei hingga Sabtu lepas. - Foto Bernama

“Selepas lebih kurang tiga jam berada di lokasi bagi membuat tugas operasi dan sebagainya kami telah menjumpai mayat reput di dalam sebuah bangsal berukuran 48 kali 22 kaki.

"Mayat tercerai dalam tiga bahagian turut ditemui ialah dua pakaian panas dua selimut dan seluar panjang,” kata Rizani ketika ditemui di Markas Tektikal (MARTEK) Wang Kelian, siang tadi.

Selain itu Rizani juga memaklumkan proses penggalian kubur masih belum bermula ekoran daripada penemuan mayat tersebut selain identiti mayat yang masih belum dapat dikenal pasti.

Ia dijangka dimulakan esok.

Kubur Bernama
Gambar keadaan kem pemerdagangan manusia berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
Kem tersebut dikesan hasil 'Op Wawasan Khas JKDNKA 2015'. - Foto Bernama

Sementara itu, menurut laporan Bernama, satu rangka manusia dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia dibawa keluar dari hutan Wang Kelian, petang tadi.

Rangka dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem haram yang dipercayai digunakan oleh sindiket pemerdagangan manusia di sebelah Malaysia di Wang Kelian.