Seorang operator kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan, awal Jun lalu.

Muhammad Solehhuddin Ibrahim, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun di dalam sebuah bilik hotel di Ayer Keroh, pada jam 1.15 pagi, 7 Jun lalu.

Tertuduh yang mempunyai dua anak berusia empat dan dua tahun, didakwa mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum dibawah akta yang sama dan boleh dikenakan penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nabilalif Mohd Rosli, mencadangkan jaminan sebanyak RM25,000, dengan syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta jumlah jaminan dikurangkan kerana hanya dia sahaja yang bekerja untuk menyara isteri dan dua anak selain ibu bapanya tidak bekerja.

Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan dilarang berhubung dengan mangsa, selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Mahkamah turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 16 Julai depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.