Seorang anggota polis berpangkat Sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini membabitkan kesalahan memperoleh suapan berjumlah RM300 sebagai dorongan bagi memastikan siasatan polis dijalankan.

Dalam satu kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shaharuddin Abdul Shukor, 54, ketika itu bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah, Unit Keganasan Rumah Tangga, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul didakwa membabitkan dua pertuduhan memperoleh suapan sebanyak RM300 daripada R.Harcharanjit Singh sebagai dorongan untuk memastikan siasatan dijalankan bagi repot polis yang dibuat.

Pada Khamis, tertuduh telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membabitkan dua pertuduhan memperoleh dua suapan berjumlah RM600 sebagai dorongan untuk memastikan siasatan dijalankan bagi repot polis yang dibuat.

Jelas kenyataan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di McDonalds Kepong, Desa Jaya, Kepong, Selangor pada 3 November 2013.

"Perkara ini merupakan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara dua puluh tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

"Tertuduh juga berhadapan dengan satu Pertuduhan Pilihan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 2 tahun atau didenda atau kedua-duanya jika didapati bersalah," kata kenyataan itu.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Mahkamah Sesyen (Jenayah) 4, Datuk Noradidah Ahmad membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) supaya kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Mohd Nasir Nordin.

Hakim turut menetapkan supaya wang jaminan bagi kes tertuduh di Kuala Lumpur diguna pakai untuk kes ini juga.

Noradidah turut memutuskan 14 November 2014 sebagai tarikh sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh TPR SPRM, Lokman Kasim manakala tertuduh tidak diwakili peguambela.

Kes ini berikutan operasi khas bergelar Ops Belot yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan, SPRM baru-baru ini ke atas agensi-agensi penguatkuasaan di sembilan buah negeri termasuk Kuala Lumpur, Melaka, Perlis, Johor, Sabah dan Sarawak.

SPRM melalui Ops Belot telah mengesan 20 penguatkuasa pelbagai agensi yang menerima suapan bagi melepaskan kes dan melindungi kegiatan jenayah seperti aktiviti perjudian, pelacuran, pendatang asing dan dadah.

Setakat ini, tujuh orang pegawai penguatkuasa termasuk tiga orang penguatkuasa DBKL dan dua orang anggota polis didakwa di Kuala Lumpur dan seorang koperal di Johor Bahru semalam manakala seorang Penolong Penguasa Polis (ASP) telah didakwa Rabu lalu di Kangar, Perlis.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, dua warga negara Nigeria didakwa membabitkan kesalahan menawarkan dan memberikan suapan sebanyak RM50,000 untuk dilepaskan daripada tangkapan polis kerana menyimpan dan mengedar ganja.

Coolman NNamudi, 33, dan Miss Kewalin Meekhao, 34, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur (KL) membabitkan tiga pertuduhan cuba menawarkan dan memberikan suapan sebanyak RM50,000 kepada seorang Penolong Penguasa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sebagai dorongan untuk melepaskan Coolman yang telah ditangkap dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi pertuduhan pertama, Coolman didakwa cuba menawarkan satu suapan, iaitu sejumlah wang RM 50,000 kepada Nik Ezanee Mohd Faisal, Penolong Penguasa PDRM di No 43, Jalan Bee Eng 4, Taman Taynton View, Cheras, KL pada 29 September 2014.

Bagi pertuduhan kedua, Coolman didakwa cuba memberikan satu suapan melalui Miss Kewalin Meekhao, iaitu wang berjumlah RM 50,000 kepada Nik Ezanee Mohd Faisal, Penolong Penguasa PDRM di Pejabat Standby Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, KL pada 30 September 2014.

Seterusnya, Miss Kewalin Meekhao didakwa secara rasuah memberikan satu suapan, iaitu wang tunai RM 17,500 kepada Nik Ezanee Mohd Faisal, Penolong Penguasa PDRM di Pejabat Standby Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, KL pada 30 September 2014.

Kesemua ini merupakan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika disabitkan bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara dua puluh tahun dan didenda lima kali nilai suapan.

Coolman merupakan seorang pelajar manakala Miss Kewalin tidak bekerja.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim, Rosbiahanin Arifin memutuskan 11 November 2014 sebagai tarikh sebutan kes dan pelantikan peguam bela.

Bagi pihak SPRM, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aida Adhha Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguambela.