Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan 9 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi membantu siasatan membabitkan Ops Licin 2, menjadikan 26 orang ditahan sehingga 7 petang ini.

Tujuh daripada mereka ditahan di Pejabat SPRM Kedah selepas dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap manakala dua lagi di Balai Polis Kota Putra, Padang Terap. Mereka ditahan antara 11.30 pagi dan 2 petang tadi.

Enam daripada sembilan yang ditahan merupakan anggota polis berpangkat koperal dan masing-masing seorang Konstabel, Sarjan dan Sarjan Mejar.

Dua lagi yang ditahan merupakan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA). Anggota ini ditahan di Kem PGA Ulu Kinta, Perak.

Ops Licin 2 dijalankan sejak semalam oleh SPRM bagi mengesan anggota penguat kuasa yang terbabit meminta dan menerima rasuah, dipercayai bagi melindungi aktiviti penyeludupan dan penjualan minyak petrol dan diesel secara haram di sempadan Malaysia-Thailand.

Semalam, 15 orang ditahan iaitu seramai 13 pegawai penguat kuasa Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dan PGA, dan masing-masing seorang bekas pegawai UPP dan orang awam.

Tindakan menahan 10 pegawai Polis dan dua PGA hari ini menjadikan 26 orang telah ditahan sejak semalam.

Dalam pada itu, kesemua mereka yang ditahan semalam telah dibebaskan hari ini selepas kenyataan mereka diambil oleh SPRM.

Di Kedah, kesemua lapan termasuk bekas penguat kuasa UPP telah dibebaskan dengan jaminan. Pegawai penguat kuasa bebas dengan jamin mulut manakala bekas penguat kuasa dengan seorang penjamin dan wang tunai RM10,000.

Di Perak, enam anggota PGA juga telah dibebas dengan jamin mulut. Seorang orang awam yang ditahan di Perak juga sudah dibebaskan dengan jamin wang tunai RM2,500 dan seorang penjamin.

Orang awam yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 manakala pegawai penguat kuasa pula disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.