Dua lelaki yang dikehendaki polis ditahan polis dalam Ops Rentap Khas menjelang ambang tahun baru di Padang Kota Lama Pulau Pinang lewat malam tadi.

Sebanyak 119 individu termasuk lima wanita diperiksa dalam ops khas berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata dua lelaki yang berusia antara 20-an dan 30-an itu dikehendaki polis bersabit kesalahan dadah dan tipu di Pulau Pinang dan Perak.

Kedua-duanya ditahan bersabit kes dadah di Georgetown sejak 2001 dan kes tipu di Teluk Intan Perak tahun lepas.

Dalam pada itu, Anuar berkata sebanyak 74 saman dikeluarkan kepada pemilik motosikal atas pelbagai kesalahan.

Tambah Anuar, seramai 119 anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Trafik dan Jabatan Keselamatan Komuniti negeri terlibat dalam operasi bermula jam 11.30 malam yang berakhir jam 6 pagi.

Menurutnya operasi berkenaan dilakukan bagi mencegah jenayah ragut dan samseng jalanan menjelang ambang tahun baru.