Sebanyak 41 kertas siasatan telah dibuka melibatkan 119 tangkapan lumba haram sepanjang Ops Samseng yang dilaksanakan di daerah Kajang sejak 1 Januari tahun ini, hingga malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan berkata, bagi Ops Alkohol pula, sebanyak 43 tangkapan telah dibuat dan kertas siasatan dibuka bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Sebanyak enam tangkapan telah dibuat di bawah kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan kebanyakan pesalah yang ditahan ini didapati melakukan kesalahan samseng jalanan.

"Kebanyakan mereka terdiri daripada remaja di bawah umur 20 tahun ke bawah, manakala bagi pemandu di bawah pengaruh alkohol ni tidak mengira had umur,” katanya lagi.

Mohd Zaid berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam operasi sekatan jalan raya di Lebuhraya Lekas dan R&R Bukit Dukung, awal pagi tadi.

Dalam operasi itu, sebanyak empat sekatan jalan raya dilakukan termasuk Lekas arah Kajang, Lekas arah Seremban, Grand Saga arah ibu negara, dan Grand Saga arah Kajang.

Operasi dengan kekuatan 88 pegawai dan anggota itu dilakukan secara bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sebanyak 121 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.