Masyarakat Orang Asli di negeri ini disaran melibatkan diri dalam sektor eko-pelancongan dan agro-pelancongan, dalam usaha meningkat taraf hidup dan ekonomi mereka, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata dua sektor berkenaan mempunyai pelbagai peluang pekerjaan, yang boleh menjana pendapatan mereka khususnya dalam bidang kraftangan, pengeluar produk hiliran berasaskan hutan, dan keusahawanan, khususnya untuk belia masyarakat itu.

"Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli di negeri ini, melalui penjanaan pendapatan yang tetap dan stabil, dan kita melihat dua sektor ini mempunyai potensi kerana Melaka merupakan negeri pelancongan.

"Kita akan menyediakan latihan dan bimbingan untuk membangunkan eko-pelancongan dan agro-pelancongan untuk Orang Asli, menerusi program tertentu yang dirangka bagi memperkasa usahawan masyarakat Orang Asli agar lebih berdaya saing dan berdaya tahan," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Terdahulu beliau merasmikan Sambutan Hari Orang Asli Negeri Melaka 2019 di sini, pada Sabtu yang turut dihadiri Exco Wanita, Hal Ehwal Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar, Ginie Lim Siew Lin dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli, Prof Dr Juli Edo.

Adly berkata kerajaan negeri juga sentiasa memberi penekanan kepada beberapa aspek penting lain, dalam meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat orang asli di negeri itu, khususnya kebajikan, selain menambah baik infrastruktur di perkampungan masyarakat itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah berjaya mewartakan dua perkampungan Orang Asli di negeri itu, di daerah Jasin iaitu Kampung Orang Asli Bukit Seraya, Selandar, dan Kampung Orang Asli Lubuk Bandung, Simpang Bekoh.

"Secara keseluruhan kita mempunyai 14 perkampungan Orang Asli di negeri ini, dengan jumlah 2,008 orang penduduk dari suku kaum Temuan, dan kita dalam usaha mewartakan sembilan lagi perkampungan tersebut," katanya.

Sementara itu, Adly berkata Jabatan Perhutanan negeri dan Badan Kawal Selia Air Melaka, akan menyelaras aktiviti di kawasan hutan simpan dan tadahan hujan di negeri itu, dalam usaha meningkatkan hasil bagi memulihara dan memelihara kawasan tersebut.

"Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan ialah seperti program tanggungjawab sosial syarikat korporat, yang boleh mendatangkan hasil tanpa merosakkan kawasan terlibat seperti penanaman rotan," katanya.

-- BERNAMA