Orang Asli dua beranak maut manakala empat lagi cedera apabila kenderaan pacuan empat roda (4x4) dinaiki mereka merempuh belakang treler yang berhenti di bahu jalan di Kilometer 50, Jalan Lipis-Merapoh dalam Daerah Lipis, kira-kira 250km dari sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azli Mohd Noor berkata, dalam nahas pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa yang maut ialah Azmah Along, 56, dan anak lelakinya Sidin Angah, 27, yang berasal dari Pos Balar, Gua Musang, Kelantan.

Kemalangan juga menyebabkan seorang lagi anak lelaki Azmah iaitu Rayes, 19, dan penumpang kenderaan 4x4 itu, Izo Aja, 13, cedera ringan manakala abang Izo, Helery, 20, cedera parah.

Pemandu kenderaan 4x4 yang berusia 43 tahun dan berasal dari Taman Kesedar Putra, Gua Musang juga cedera ringan.

"Kenderaan itu dipercayai membawa penduduk Orang Asli itu untuk ke Gombak, Selangor apabila melanggar treler rosak yang berhenti di bahu jalan.

Sidin dipercayai duduk di bahagian penumpang hadapan yang remuk teruk akibat kemalangan itu manakala Azmah duduk di belakang Sidin," katanya menerusi kenyataan media di sini, pada Selasa.

Azli berkata pemandu dan kelindan treler yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan tidak cedera dalam kejadian itu.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis, Lipis untuk bedah siasat.