Komuniti Orang Asli dari Kampung Pos Piah Sungai Siput mendakwa menerima ‘wang saguhati’ sebanyak RM1,150 dari sebuah syarikat pembalakan yang menjalankan aktiviti pembalakan di kampung tersebut.

Menurut Pengerusi Jaringan Orang Asli Kampung Pos Piah, Najib Alang, tindakan itu mendatangkan keraguan kepadanya dan penduduk kampung, khususnya niat sebenar pihak syarikat itu.

Katanya lagi, penyelia pembalakan yang dikenali sebagai ‘Afik’ bersama seorang lagi individu telah datang ke rumahnya di Kampung Ketled Pos Piah kononnya untuk berbincang bagi memajukan masyarakat Orang Asli di situ.

Tambahnya, ia dilakukan selepas pihak syarikat pembalak itu selesai membawa mereka ke Pahang bagi melihat projek perladangan durian Musang King.

“Semasa diberikan kepada saya pada 4 Ogos 2019, saya menolak, tapi dia bagi secara paksa.. jadi saya sendiri fikir ini masalah.

“Memang Orang Asli hairan sebab dulunya memang tak ada (pemberian) berbentuk wang seperti ini. Harapan saya (apabila) buat laporan ini, pihak berkuasa ambil tindakan supaya (mereka) jangan buat salah pada Orang Asli,” ujar Najib selepas tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini pada Selasa.

Katanya lagi, wang saguhati itu diberikan sebagai wang perbelanjaan kepada kira-kira 100 orang penduduk kampung di kawasang terbabit.

Najib yang hadir bersama sekumpulan komuniti Orang Asli Pos Piah berkata, laporan polis kedua itu dibuat bagi meminta pihak berkuasa menyerahkan kembali wang yang diterima kepada pihak syarikat pembalak.

Katanya lagi, laporan polis pertama telah dibuat pada 5 Ogos lalu di IPD Sungai Siput.